fbpx

Bank Persatuan Sasar Deposit RM1.5b

Utusan Malaysia - Bank Persatuan Sasar Deposit RM1.5b
       

BUTTERWORTH 9 Jun - Bank Persatuan menyasarkan sumber dana dan penerimaan deposit baharu berjumlah RM1.5 bilion menjelang hujung tahun ini.

Pengerusinya, Datuk Yusra Sabar berkata, pihaknya yakin sasaran itu dapat dicapai melalui pelbagai produk yang ditawarkan institusi perbankan itu antaranya sijil pelaburan, deposit syarikat korporat dan koperasi, simpanan Al-Wadiah dan penawaran sistem pajak gadai Ar-Rahnu.

Pada tahun lalu, menurut beliau, bank itu mencatatkan pendapatan operasi perbankan sebanyak RM90.1 juta dengan keuntungan bersih RM26.3 juta.

"Jumlah aset yang direkodkan pula adalah sebanyak RM1.21 bilion berbanding RM1.12 bilion pada tahun sebelumnya," katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis penyampaian hadiah kepada pemenang kempen deposit dan menang anjuran bank berkenaan di sini hari ini.

Kempen berkenaan yang dilancarkan pada Oktober 2013, menyasarkan penerimaan deposit sebanyak RM100 juta dan berjaya dicapai dalam tempoh ditetapkan iaitu pada Januari lalu.

Yusra berkata, pihaknya berbangga kepada kempen tersebut mendapat sambutan menggalakkan selepas merekodkan jumlah keseluruhan deposit baharu sebanyak RM152.83 juta untuk tempoh simpanan tiga bulan dan ke atas.

Selain itu tambah beliau, jumlah keseluruhan deposit termasuk 'renewal' yang diterima sepanjang kempen tersebut pula adalah sebanyak RM315.65 juta.

Mengenai skim pajakan Ar-Rahnu yang baharu diperkenalkan pada tahun ini, beliau berkata, pihaknya menyasarkan transaksi kewangan bernilai RM50 juta menjelang hujung tahun ini.

"Jumlah pembiayaan maksimum yang ditetapkan adalah sehingga RM50,000 dan ketika ini dua cawangan kami iaitu di Butterworth dan Johor Bahru menawarkan produk ini dan menjelang tahun depan, dijangka kesemua 15 cawangan di seluruh negara akan menawarkan produk berkenaan kepada orang ramai," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, dengan pengalaman meluas dalam sektor perbankan sejak beroperasi pada 1963, Bank Persatuan kini bersedia menjadi sebuah Bank Koperasi bagi mengukuhkan lagi peranannya.

"Ketika ini, syarat yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Bank Negara Malaysia (BNM) telah kami penuhi dan hanya menunggu masa untuk diiktiraf sebagai Bank Koperasi," katanya.

Sumber - Utusan Malaysia

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Korporat/20140610/ko_05/Bank-Persatuan-sasar-deposit-RM15b#ixzz359BmDI2T

Hak Cipta Terpelihara © | Co-opbank Persatuan
Paparan terbaik menggunakan IE versi 9+, Google Chrome atau Mozilla Firefox dan skrin resolusi 1024 x 768
  hotline baru phone number white   fb 2 twitter 2