FAQ ZAKAT PERNIAGAAN CBP

1. Apakah hukum membayar zakat oleh CBP?

Dalam prinsip Syariah, hukum membayar zakat perniagaan oleh (“Co-opbank Pertama”) CBP adalah wajib apabila cukup haul dan nisab dengan wujudnya pemilikan penuh terhadap harta yang dizakatkan berdasarkan kepada dalil umum pensyariatan zakat dalam Al-Quran. Sebagai sebuah entiti yang ditubuhkan di bawah akta koperasi, kewajipan zakat perniagaan atas CBP adalah sepertimana yang gariskan dalam Hadith bahawa Anas R.A. meriwayatkan bahawa Abu Bakar R.A. menetapkan baginya apa yang difardhukan oleh Rasulullah SAW: Dan jika sesuatu harta berkongsi bercampur oleh dua orang, maka keduanya saling mengeluarkan zakat dengan adil (sesuai dengan kadar atau bahagian masing-masing) [HR Bukhari].

2. Apakah CBP mempunyai mandat membayar zakat?

Dalam peruntukan UUK fasal 48(d)(xv), pembayaran zakat CBP telah diperuntukkan sebagai urusan mesyuarat Lembaga. Ini bermakna Lembaga mempunyai kuasa untuk menguruskan pembayaran zakat perniagaan dari masa ke semasa tertakluk kepada nasihat oleh Jawatankuasa Syariah dan peraturan oleh pihak berkuasa zakat negeri.

3. Apakah jenis zakat yang dibayar oleh CBP?

CBP membayar zakat perniagaan yang disyariatkan oleh agama Islam dan ditetapkan di bawah peruntukan undang-undang dan dikuatkuasakan oleh pihak berkuasa zakat negeri.

4. Adakah CBP membayar zakat bagi pihak Anggota?

Tidak, Jawatankuasa Syariah CBP pada bulan Mac 2019 telah mengeluarkan resolusi Syariah dan dipersetujui oleh Lembaga bahawa CBP membayar zakat atas kapasiti sendiri bukan bagi pihak Anggota atau pemegang syer. Ini didasari oleh prinsip Syakhsiah I’tibariah yang mana CBP hendaklah dianggap sebagai (“artificial Muslim”) atas sebab pengiktirafan undang-undang akan kewujudan CBP sebagai sebuah entiti yang berasingan (“separate legal entity”).

5. Apakah formula pentaksiran zakat yang digunakan oleh CBP?

CBP membayar zakat berdasarkan garis panduan GP23-SKM, manual zakat JAWHAR mengikut formula “asset growth model” dengan mengecualikan deposit yang dimiliki oleh pendeposit. Untuk tujuan memperuntukkan zakat perniagaan, CBP membuat pengiraan zakat perniagaan ini menggunakan Kaedah Model Berkembang (Growth Model) yang ditetapkan dalam GP23 dengan formula seperti berikut:

[Aset yang dikenakan zakat] x [% pemilikan syer dan yuran muslim] x 2.577%

Nota: [Aset yang dikenakan zakat] = Ekuiti Pemilik + Liabiliti Jangka Panjang - Aset Tetap - Aset Separa Tetap - Aset Semasa +/- Pelarasan (jika ada). Jawatankuasa Syariah memberi garis panduan dengan menggunakan prinsip Syakhsiah I’tibariah maka ekuiti pemilikan Muslim adalah sentiasa 100%.

6. Apakah sumber bayaran zakat oleh CBP?

Sumber bayaran zakat oleh CBP adalah daripada hasil pendapatan Halal dan Patuh Syariah daripada pendapatan boleh agih yang terhasil daripada operasi perniagaan utama CBP dan pendapatan lain-lain termasuk harta yang dianggap bermanfaat “mal mustafad”.

7. Apakah kesan zakat oleh CBP kepada dividen yang dibayar kepada Anggota?

Walaupun zakat perniagaan CBP dibayar bukan bagi pihak anggota atau pemegang syer, zakat tersebut mempunyai implikasi untuk mengecualikan anggota daripada dikenakan zakat dividen kerana Islam tidak mensyariatkan zakat dua kali. Zakat tidak diambil dua kali daripada harta yang sama dalam satu haul. Implikasinya ialah, hasil pulangan atau dividen yang diterima daripada perniagaan atau pelaburan yang telah membayar zakat perniagaan, maka dipihak pelabur, tidak dizakatkan lagi atas hasil pulangan tersebut untuk mengelakkan zakat dua kali atas harta yang sama. Rasulullah S.A.W ada menyebut bahawa “Tidak ada gandaan dalam zakat”. HR Ibn Abi Syaibah

8. Dimanakah CBP membayar zakat?

Oleh kerana Ibu Pejabat CBP kini adalah di Kuala Lumpur, Jawatankuasa Syariah CBP pada bulan Mac 2019 telah mengeluarkan resolusi Syariah dan dipersetujui oleh Lembaga bahawa CBP hendaklah membayar zakat secara tunai di PPZ Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan. Walaubagaimanapun, diharuskan untuk CBP membayar zakat mengikut prestasi aset perniagaan cawangan-cawangan di setiap negeri-negeri dan melakukan pembahagian pembayaran zakat kepada setiap PPZ Majlis Agama Islam setiap negeri di Malaysia.

9. Adakah terdapat agihan sendiri oleh CBP?

CBP hanya mengagihkan zakat sendiri pada bahagian yang dikembalikan oleh Pusat Zakat di bawah mandat watikah pelantikan wakalah (jika ada) tertakluk kepada kelulusan pengembalian yang diberikan oleh Pusat Zakat untuk diagihkan kepada asnaf fakir, miskin dan fisabillilah bagi pihak berkuasa zakat.

10. Adakah wajar anggota memohon dividen kasar untuk mengagih zakat sendiri?

Menurut GP23, CBP hendaklah membuat peruntukan cukai jika perlu dan zakat perniagaan SEBELUM membuat lain-lain pembahagian, termasuklah dividen. Oleh itu tidak munasabah untuk CBP membayar dividen kasar sebelum potongan zakat.

Tidak wajar juga zakat diagih sendiri oleh anggota kerana zakat tidak dibayar bagi pihak anggota bahkan zakat hendaklah dibayar kepada amil yang sah. Adalah bersalahan dengan peruntukan undang-undang jika zakat dibayar kepada bukan amil atau diagih sendiri tanpa kebenaran pihak berkuasa zakat.

Berdasarkan kepada Undang-undang Kecil (UUK) fasal 48 (d) (xv) – Pembayaran zakat perniagaan CBP adalah merupakan urusan mesyuarat Lembaga. Fasal ini hendaklah ditafsirkan bahawa mandat dan kuasa untuk membayar zakat perniagaan CBP telah diperturunkan kepada Lembaga untuk dibayar kepada pihak berkuasa zakat negeri. Perlembagaan Persekutuan telah menyenaraikan zakat di bawah bidang kuasa negeri.

Semua negeri di Malaysia telah memperuntukkan perkara berkenaan dengan urusan zakat ini sama ada di bawah akta atau enakmen di negeri masing-masing atau diletakkan di bawah enakmen khusus tentang zakat. Akta atau enakmen juga memperuntukkan kuasa kepada Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) atau syarikat yang dilantiknya memungut zakat daripada pemilik harta dan setiap orang yang melanggar akta atau enakmen tersebut boleh dikenakan hukuman melanggar undang-undang.

Menurut Seksyen 16 (b) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559) secara jelas memperuntukkan kuasa kepada Majlis atau wakilnya untuk memungut zakat. Ini bermaksud, orang yang membayar zakat melalui amil yang tidak dilantik oleh Majlis adalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16 (b) dan boleh dikenakan hukuman jika sabit kesalahan.

11. Adakah CBP membayar zakat mengikut peratusan pemegang syer Muslim, maka pemegang syer bukan Muslim boleh mendapatkan dividen kasar?

Jawatankuasa Syariah CBP mengeluarkan resolusi Syariah pada Mac 2019 dan dipersetujui oleh Lembaga bahawa oleh kerana prinsip Syakhsiah I’tibariah telah diadaptasi, maka peratusan pemegang syer Muslim dan bukan Muslim boleh diabaikan dengan dianggap status CBP sentiasa kekal sebagai entiti artifisial Muslim 100%. Maka, tidak ada mana-mana pemegang syer samada Muslim atau bukan Muslim berhak meminta pembayaran dividen kasar sebelum zakat dan cukai.

12. Adakah anggota bumiputera bukan muslim Sabah dan Sarawak dikecualikan zakat?

Dalam prinsip Syakhsiah I’tibariah, perkara ini tidak dipertimbangkan. Malahan dalam pentaksiran zakat ia adalah berdasarkan kepada aset dalam perniagaan kewangan Islam yang dikenakan zakat iaitu bukan zakat ke atas dividen.

Hak Cipta Terpelihara © | Co-opbank Persatuan
Paparan terbaik menggunakan IE versi 9+, Google Chrome atau Mozilla Firefox dan skrin resolusi 1024 x 768
  hotline baru phone number white   fb 2 twitter 2