Sejarah Penubuhan Co-opbank Persatuan

 

1950-an

Pertubuhan Koperasi

Sejarah penubuhan Koperasi Co-opbank Persatuan Malaysia Berhad ataupun ringkasnya ‘Co-opbank Persatuan’ bertitik tolak daripada perjumpaan sekumpulan masyarakat Melayu, yang sebahagian besarnya terdiri daripada ahli-ahli syarikat kerjasama kampung, di Sekolah Melayu Sungai Derhaka, Bukit Mertajam pada 1 Januari 1950 apabila 17 buah syarikat kerjasama kampung akhirnya bersatu menubuhkan Co-opbank Persatuan yang pada ketika itu dikenali sebagai “The Provience Wellesley Co-operative Banking Union Limited” pada 7 Jun 1950 dengan beroperasi di Pejabat Kemajuan Kerjasama Bukit Mertajam.

Kebanyakan syarikat kerjasama kampung yang ada di kawasan Seberang Perai di awal tahun 50-an itu merupakan syarikat kecil dan tidak mempunyai modal yang mencukupi untuk membiayai keperluan ahlinya.

Ini adalah hasil dorongan Pesuruhjaya Kemajuan Kerjasama Persekutuan Tanah Melayu ketika itu, R.C. Gates, Co-opbank Persatuan diasaskan bagi membolehkan semua modal syarikat kerjasama berkenaan digemblengkan bagi tujuan memberi pinjaman untuk membanteras masalah pinjaman “padi kunca” yang menindas golongan berkenaan ketika itu.

Antara aktiviti utama Co-opbank Persatuan pada masa itu ialah membeli dan menjual baja-baja buatan kepada anggotanya untuk meningkatkan hasil pertanian mereka di samping memberi pinjaman supaya anggota dapat membeli ternakan, menyewa tanah, menebus dan membeli tanah.

Antara mereka yang telah banyak berjasa menjayakan penubuhan bank ini ialah Pesuruhjaya Kemajuan Kerjasama-sama Negeri Pulau Pinang, Allahyarham Haji Abdul Rauf Haji Mohd Suki, Penolong Pesuruhjaya Kemajuan Kerjasama Persekutuan Tanah Melayu, Allahyarham Abdul Majid Haji Muhammad dan Almarhum Tengku Indera Putera Ibni Almarhum Sultan Ibrahim.

Selain mereka, beberapa tokoh yang turut membantu menjayakan penubuhan dan pengembangan bank ialah (Dato’) Haji Yusoff Hilmi Haji Shafie atau lebih dikenali sebagai Pak Long (Pengerusi pertama Co-opbank Persatuan), Allahyarham Haji Abdul Hamid Abdul Raof, Allahyarham Haji Abdul Rahman Husain, Allahyarham Haji Ahmad Haji Mohd Amin, Allahyarham Haji Said Wahid, Allahyarham Haji Abdul Kadir Haji Hassan, Allahyarham Encik Harun Abd Rashid, Allahyarham Encik Khalid Said, Allahyarham Haji Abdullah Haji Ali, Allahyarham Encik Harun Mat Wali, Allahyarham Encik Md Isa Yasin dan Allahyarham Encik Nordin Mastan.

Sejarah kegemilangan Co-opbank Persatuan bermula dengan pembelian Estet Bertam seluas 6,780 ekar dengan harga RM2.26 juta daripada Bertam Consolidated Rubber Company di Seberang Perai Utara pada 1959 dan pembelian estet ini telah menyelamatkan kedudukan kira-kira 6,000 penduduk di kawasan estet itu yang kebanyakannya terdiri daripada golongan miskin dan daif.

Pada mulanya, pihak Bertam Consolidated Rubber Company telah menjualkan estet itu kepada chetiar, N.T.S. Arumugam Pillai tetapi dengan bantuan Menteri Pertanian dan Kemajuan Kerjasama Persekutuan Tanah Melayu ketika itu, Dato’ Abdul Aziz Ishak, bank berjaya mendapatkan estet itu kembali daripada Bertam Consolidated. Rundingan untuk mendapatkan estet itu melibatkan empat pihak antara Dato’ Abdul Aziz, N.T.S. Arumugam, Bertam Consolidated dan Co-opbank Persatuan berlangsung di Rest House Bukit Mertajam.

Menteri berkenaan juga telah membantu pihak Co-opbank Persatuan mendapatkan pinjaman sebanyak RM1.7 juta daripada Bank Standard Chartered, Kuala Lumpur untuk tempoh tiga tahun dengan jaminan Bank Agong (kini Bank Rakyat) untuk membayar baki harga pembeliannya.

Bagaimanapun, Co-opbank Persatuan berdepan dengan masalah apabila penduduk di estet tersebut tidak dapat melunaskan bayaran pendahuluan 25 peratus sebagai syarat jualan tanah-tanah yang sedang diusahakan ataupun diduduki kepada Co-opbank Persatuan.

Setelah tempoh perjanjian dengan Bank Standard Chartered tamat, Co-opbank Persatuan memohon pinjaman sebanyak RM1.7 juta daripada Koperasi Polis Semenanjung Malaysia untuk tempoh bayaran balik selama tiga. Namun disebabkan tempoh pinjaman tersebut yang singkat, Co-opbank Persatuan seterusnya memohon pinjaman RM1.7 juta daripada kerajaan dan permohonan itu diluluskan dengan tempoh bayaran balik selama 15 tahun.

PicPenajaLama

Jawatankuasa penaja Co-opbank Persatuan bergambar bersama-sama Pesurohjaya Kemajuan Koperasi Persekutuan Tanah Melayu, Mr R.C.gates pada tahun 1950 di hadapan bangunan Jabatan Koperasi Bukit Mertajam

PicUcapa Menteri

Menteri Pertanian Y.B Encik Abdul Aziz Bin Ishak sedang menyampaikan ucapan kepada ahli-ahli Co-opbank Persatuan mengenai cadangan membeli Estate Bertam.

1960-an

Era Perkembangan Pada 1960-an

Hasil usaha gigih Anggota Lembaga Co-opbank Persatuan dan kebetulan pula harga tanah di Estet Bertam yang melambung tinggi pada tahun 60-an, anggota-anggota Co-opbank Persatuan mampu menjelaskan baki harga tanah dengan baik dan pihak Co-opbank Persatuan juga berjaya menyelesaikan sepenuhnya pinjaman dengan kerajaan dalam tempoh 12 tahun sahaja.

Walaupun urusan jual beli tanah Estet Bertam antara Co-opbank Persatuan dan pembeli terutamanya berkaitan suratan hak milik belum selesai sepenuhnya setelah 30 tahun, namun penyata kewangan mengenai urusan jual-beli tanah itu yang ditutup pada tahun 1986 menunjukkan bahawa Co-opbank Persatuan memperolehi keuntungan sebanyak RM2.5 juta.

Berdasarkan pengalaman menguruskan jual beli tanah Estet Bertam, Co-opbank Persatuan seterusnya membeli tanah-tanah lain untuk dijadikan pecahan tanah lot untuk dijual kepada anggotanya.

Pada tahun 1963, lokasi pejabat Co-opbank Persatuan turut berpindah ke Jalan Chan Ewe Pin (ketika itu menjadi pejabat Jabatan Pembangunan Koperasi). Pada peringkat awal penubuhannya, Co-opbank Persatuan bergantung kepada kakitangan jabatan tersebut yang dipinjamkan untuk mengurus dan mentadbir Co-opbank Persatuan sehingga awal 1970-an.

Berikutan perkembangan perniagaan pada waktu tersebut, Co-opbank Persatuan telah berpindah ke bangunan pejabat miliknya yang pertama dan majlis perletakan batu asas pembinaan bangunan di Jalan Bagan Luar telah disempurnakan oleh Menteri Pertanian, Tan Sri Ghazali Jawi pada tahun 1963. Bangunan tiga tingkat tersebut yang berharga RM240,000 di alamat 4228 Jalan Bagan Luar, Butterworth itu kemudiannya dirasmikan oleh Perdana Menteri pertama, Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj pada 27 April 1964.



PicBangunanLama

Bangunan Pejabat Co-opbank Persatuan di Jalan Bagan Luar, Butterworth yang siap di bina pada tahun 1964.

1970-an

Keanggotaan Individu Dibuka

Pada peringkat awal penubuhannnya, keanggotaan Co-opbank Persatuan adalah terdiri daripada gabungan 21 buah syarikat- syarikat kerjasama kampong di Seberang Perai sahaja.

Apabila Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) ditubuhkan pada tahun 1971 dan pentadbiran semua Syarikat-Syarikat Kerjasama diletakkan di bawahnya, CBP turut membuka keanggotaannya kepada orang perseorangan (individu) dengan jumlah keanggotaan individu Co-opbank Persatuan telah meningkat kepada lebih 62,005 orang dan keanggotaan koperasi 406 buah dengan jumlah syer berbayar lebih RM380.0 juta.

Pada ketika ini juga, nama asal CBP ditukarkan kepada Bank Persatuan Berkerjasama-Sama Seberang Prai Tanggungan Berhad pada 4 Mac 1970 dan kemudian kepada Bank Persatuan Kerjasama Seberang Perai Berhad pada 26 April 1972.

CBP juga dibenarkan mempunyai pengurus sendiri setelah Anggota Lembaga berbincang dengan Jabatan Pembangunan Koperasi (JPK) pada tahun 1979.

Encik Faudzi Naim Haji Noh dilantik sebagai Pengurus Besar pertama CBP pada tahun 1980 dan beliau berkhidmat selamat empat tahun sebelum Penolong Setiausaha, Encik Yahya A.Wahid menggantikannya pada tahun 1984. Selepas persaraan Encik Yahya pada tahun 2008, jawatan Pengurus Besar itu digantikan oleh Encik Azman Ahmad.


JemaahPengarah

Gambar Jemaah Pengarah Co-opbank Persatuan dalam tahun 1970an.

 

PicPenyerahanCek

Upacara Penyerahan cek sebanyak RM 1.7 juta di atas pinjaman kerajaan untuk bayaran belian harga tanah Estate Bertam yang di sampaikan oleh Datuk Tan Sri Ghazali Jawi, Menteri Pertanian kepada Pengerusi Co-opbank Persatuan, Tuan Haji Jusoh @ Yusoff Hilmi Bin Haji Shafie dalam tahun 1971.

1980-an

Terokai Peluang Pelaburan & Perluas Operasi Perniagaan

Setelah membuka keanggotaannya kepada individu pada tahun 1971, Co-opbank Persatuan semakin mendapat sambutan daripada masyarakat dan kedudukan kaunter Co-opbank Persatuan di tingkat satu bangunan itu tidak lagi sesuai untuk beroperasi.

Oleh itu, Anggota Lembaga Co-opbank Persatuan telah memutuskan untuk membeli tiga unit rumah kedai tiga tingkat di Taman Selat, Butterworth dengan harga RM2.34 juta pada 28 Julai 1982.

Tiga tahun kemudian, operasi Co-opbank Persatuan telah dipindahkan ke premis tersebut di Taman Selat dan bangunan lama di Jalan Bagan Luar dijual kepada Bank Bumiputra Malaysia Berhad dengan harga RM2.0 juta pada April 1986.

Mulai saat itu, Co-opbank Persatuan telah mengatur langkah untuk membuka cawangan di Kepala Batas pada November 1983 dan diikuti Nibong Tebal pada Ogos 1986.

Penglibatan pertama Co-opbank Persatuan dalam pelaburan saham ialah menerusi pemilikan 30 peratus ekuiti syarikat Thexchem Corporation Berhad pada tahun 1981 melalui pembiayaan modal sendiri sebanyak RM1.2 juta dan ini merupakan pelaburan terbesar dalam sebuah syarikat swasta. Kesemua saham itu dijual pada tahun 1989 dengan memperolehi RM1.6 juta.

Co-opbank Persatuan juga mempunyai pelaburan dalam Koperasi Gabungan Negeri Pulau Pinang (KGN) berjumlah RM240,000 mulai tahun 1980 dan Koperasi Insurans Malaysia Berhad (MISC) berjumlah RM300,000 pada tahun 1994.

Bagi merancakkan lagi pertumbuhan Co-opbank Persatuan, pihak pengurusan melibatkan diri dalam sektor pembinaan perumahan bagi keperluan anggota individunya.

Projek perumahan pertama yang diceburi Co-opbank Persatuan ialah memajukan fasa satu 129 unit rumah di Taman Abdullah Fahim, Kepala Batas di atas tapak seluas 15 ekar dengan nilai RM11.5 juta.

Setelah berjaya dengan projek perumahan tersebut, Co-opbank Persatuan membangunkan pula fasa kedua taman berkenaan pada tahun 1984 yang mengandungi 53 unit rumah jenis teres setingkat dan kembar setingkat dan projek bernilai RM4.5 juta itu siap dibina pada Februari 1986.

Projek perumahan yang dimajukan seterusnya ialah di Taman Haji Mohamad Amin, Permatang Pauh melibatkan 111 unit rumah teres dan 380 unit rumah pangsa lima tingkat bernilai RM17.5 juta yang siap pada November 1986.

Aktiviti pemajuan perumahan dihentikan seketika setelah permintaan terhadap perumahan amat rendah ekoran kegawatan ekonomi pada tahun 1987 tetapi pada tahun berikutnya sebuah syarikat, Tai Sai Gin Garden Sdn. Bhd. mahu menjual projek perumahannya di Telok Air Tawar kepada Co-opbank Persatuan.

Setelah mengadakan beberapa siri perundingan, akhirnya kata sepakat dicapai dan Co-opbank Persatuan bersetuju membeli 26 unit banglo dan 44 unit rumah berkembar setingkat dengan harga RM4.0 juta.

Bagi membiayai pembelian itu, Co-opbank Persatuan dengan bantuan Jawatankuasa Pemandu Pulau Pinang (JKP) telah mendapatkan pinjaman sebanyak RM3.6 juta daripada Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) dan projek itu kemudiannya ditukat nama sebagai Taman Wira.

Rumah itu dijual kepada anggota individu Co-opbank Persatuan dengan harga RM85,000 seunit bagi banglo dan RM65,000 seunit bagi rumah berkembar.

Sehingga kini, Co-opbank Persatuan telah memajukan 16 projek perumahan bernilai lebih RM160 juta di seluruh Pulau Pinang dan telah memberi manfaat secara langsung kepada lebih 3,000 anggota yang telah membeli rumah-rumah berkenaan.



1990-an

Transformasi Sistem Perbankan Islam

Pada tahun 1990-an, Co-opbank Persatuan meluaskan empayarnya dengan membuka cawangan baharu di beberapa negeri lain seperti Sungai Petani, Kedah (Ogos 1994), Taiping, Perak (Ogos 1996), Alor Setar, Kedah (Disember 1997) dan Bayan Baru, Pulau Pinang (Ogos 1998).

Co-opbank Persatuan juga telah melaksanakan sistem Perbankan Islam pada tahun 1994 hasil khidmat runding cara dengan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) setahun sebelumnya. Melalui khidmat runding cara itu, kakitangan Co-opbank Persatuan diberi garis panduan serta latihan oleh BIMB untuk melaksanakan sistem Perbankan Islam.

Selain itu, Co-opbank Persatuan juga mengadakan perjanjian aplikasi pengkomputeran dengan Unit Teknologi Maklumat Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi membangunkan sistem produk Perbankan Islamnya. Selaras dengan pengkomputeran itu, Co-opbank Persatuan kemudiannya menawarkan kemudahan simpanan Al-Wadi’ah dan pelaburan Al-Mudharabah pada tahun 1994 dan menawarkan pembiayaan Al-Bai Bithaman Ajil (Jualan Harga Tangguh) bagi semua jenis akaun pembiayaan di Co-opbank Persatuan bermula tahun 1995.

Selaras dengan perkembangan semasa. Co-opbank Persatuan pada masa itu telah diluluskan pertukaran namanya kepada Koperasi Bank Persatuan Malaysia Berhad pada 25 April 1995.



Era Millenium

Penubuhan Co-opbank Persatuan

Dari hanya perkhidmatan kredit kepada petani sejak awal penubuhannya, Co-opbank Persatuan telah memperluaskan perkhidmatannya kepada bidang perbankan merangkumi pelbagai produk pembiayaan kepada individu, koperasi dan korporat serta pelbagai produk simpanan dan pelaburan.

Tanggal 15 September 2014 menjadi titik permulaan bagi Co-opbank Persatuan apabila menerima pengiktirafan daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk beroperasi secara sepenuhnya sebagai sebuah Co-opbank. Dengan pengiktirafan berikut, Co-opbank Persatuan telah bertapak kukuh sebagai sebuah Co-opbank yang kedua terbesar di Malaysia.

Dengan 20 cawangan merentasi seluruh Malaysia, Co-opbank Persatuan bukan setakat berjaya menempatkan dirinya sebaris dengan institusi kewangan lain di negara ini bahkan mampu mengangkat martabat dan kedudukan sosio-ekonomi hampir 75,000 orang anggota individunya dan lebih 500 buah anggota koperasi dengan jumlah modal syer dibayar keanggotaanya berjumlah lebih RM340 juta (2016).

Menjelang akhir tahun 2016, Co-opbank Persatuan telah mencatatkan pertumbuhan yang memberangsangkan dengan jumlah aset terkumpul sebanyak RM2.3 bilion dan pendapatan melebihi RM136.9 juta.

Demikian juga Co-opbank Persatuan telah mencatatkan pertumbuhan pengeluaran pembiayaan yang tinggi pada tahun yang sama sebanyak 237.5% berjumlah RM496.5 juta (2015 : RM147.1 juta). Ini telah menjadikan baki bersih pembiayaan Co-opbank Persatuan telah meningkat kepada RM1.7 bilion (2015 : RM1.2 bilion) yang secara relatifnya merekodkan pertumbuhan aset pembiayaan Co-opbank Persatuan sebanyak 41.7%.

Kejayaan ini bukan dicapai dalam sekelip mata tetapi menuntut anjakan paradigma dan pergorbanan yang amat besar semua pihak bermula dari Anggota Lembaga, Pengurusan Kanan dan warga kerjanya yang disumbangkan sejak dari awal penubuhannya.

Pengiktirafan dan kejayaan yang dicapai oleh Co-opbank Persatuan ini memberikan iktibar yang cukup berharga bahawa ukuran, saiz organisasi, lokasi dan cara mana ia bermula tidak penting asalkan mereka mempunyai semangat, iltizam, komitmen dan yang paling penting kerjasama berpasukan untuk menempa kejayaan dan kecemerlangan.



 

Hak Cipta Terpelihara © | Co-opbank Persatuan
Paparan terbaik menggunakan IE versi 9+, Google Chrome atau Mozilla Firefox dan skrin resolusi 1024 x 768
  hotline baru phone number white   fb 2 twitter 2