fbpx

SKM Sasar 4 Koperasi Perbankan Menjelang 2020

Sinar Harian - SKM Sasar 4 Koperasi Perbankan Menjelang 2020..

BUTTERWORTH - Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menyasar untuk mewujudkan empat buah koperasi perbankan menjelang tahun 2020 berbanding satu ketika ini iaitu Bank Rakyat.

Pengerusi Eksekutifnya Datuk Nik Ali Mat Yunus berkata ketika ini proses untuk menubuhkan bank koperasi kedua sedang berjalan dengan Bank Persatuan sudah mendapat kelulusan daripada SKM.

"SKM yakin dapat mewujudkan empat buah koperasi dan kita juga telah menubuhkan Unit Khas Penyeliaan Co-op Bank (UKPC) bagi melaksanakan pemantauan melalui kaedah rangka kerja penyeliaan berasaskan risiko ke atas koperasi-koperasi yang menjalankan aktiviti perbankan di bawah peruntukan Seksyen 64 Akta Koperasi 1993.

"Dengan adanya UKPC yang dianggotai oleh pegawai-pegawai SKM dan Bank Negara Malaysia yang berkepakaran dalam membuat penilaian prestasi kewangan koperasi, mampu meningkatkan tahap penyeliaan ke atas Co-op Bank," katanya semasa berucap pada majlis perasmian mesyuarat agung perwakilan tahunan Koperasi Bank Persatuan Malaysia Berhad kali ke-55, di sini hari ini.

Beliau berkata, ketika ini masyarakat mula membuka mata terhadap keupayaan koperasi kerana ada di antaranya yang mampu membayar dividen sehingga 15 peratus kepada anggotanya.

Nik Ali berkata, pengendalian koperasi oleh golongan profesional berjaya mengembalikan keyakinan masyarakat untuk menanam modal.

Sementara itu, beliau berkata koperasi mampu meningkatkan taraf kehidupan anggotanya kerana gerakan koperasi turut memainkan peranan dalam agenda pembasmian kemiskinan dan pengagihan kekayaan negara.

"Gerakan koperasi kini juga memikul tanggungjawab dalam agenda tranformasi negara. Jadi ia tidak boleh lagi beroperasi secara konvensional tetapi perlu lebih kreatif dan berinovasi untuk bersaing dalam dunia perniagaan yang kompetitif," katanya.

Beliau berkata, sehingga tahun ini, anggota koperasi di negara ini mencecah 7.6 juta orang iaitu hampir 25 peratus daripada jumlah penduduk keseluruhan.

"Ia penting dalam mencorak masa depan gerakan koperasi di negara ini kerana kejayaan sesebuah koperasi bergantung kepada permuafakatan dalam kalangan anggotanya,” katanya. - Bernama

Sumber - Sinar Harian

Hak Cipta Terpelihara © | Co-opbank Persatuan
Paparan terbaik menggunakan IE versi 9+, Google Chrome atau Mozilla Firefox dan skrin resolusi 1024 x 768
  hotline baru phone number white   fb 2 twitter 2