Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR)
Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) yang diperkenalkan di bawah Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 bertujuan memberi perlindungan kepada suri rumah yang mengalami kemalangan, penyakit atau apa-apa insiden semasa melakukan urusan berkaitan rumah tangga sehingga menyebabkan hilang upaya kekal atau keilatan yang menjejaskan keupayaan suri rumah untuk menguruskan rumah tangganya.

1. Suri rumah warganegara Malaysia / pemastautin tetap yang belum mencapai umur 55 tahun.
2. Bagi penyertaan kali pertama, umur suri rumah hendaklah tidak melebihi 54 tahun.
3. Membayar caruman bagi tempoh 12 bulan yang dibayar terlebih dahulu (in advance).
- SIAPAKAH YANG DIMAKSUDKAN SEBAGAI SURI RUMAH DI BAWAH AKTA KESELAMATAN SOSIAL SURI RUMAH 2022 [AKTA 838]?
Perempuan berkahwin atau belum, menguruskan rumah tangga sepenuh masa atau tidak, termasuk –
- isteri, janda, balu yang perkahwinan didaftarkan; dan
- ibu kepada seorang anak atau lebih termasuk ibu tunggal
- ADAKAH SKIM KESELAMATAN SOSIAL SURI RUMAH (SKSSR) MANDATORI KEPADA SURI RUMAH?
Opsyen penyertaan adalah secara suka rela kepada semua suri rumah.
- APAKAH MAKSUD AKTIVITI “MENGURUSKAN RUMAH TANGGA”?
Aktiviti pengurusan rumah tangga merupakan aktiviti rutin seharian yang dijalankan oleh suri rumah dalam menguruskan rumah tangganya termasuk ahli keluargannya. Contoh: menyediakan makanan, pergi ke pasar, menghantar anak ke sekolah dan lain-lain.
- APAKAH SYARAT KELAYAKAN CARUMAN?
Wanita warganegara Malaysia atau pemastautin tetap yang belum mencapai umur 55 tahun. Bagi suri rumah yang tidak pernah mencarum di bawah skim ini, hendaklah sebelum mencapai umur 54 tahun.
- BERAPAKAH KADAR CARUMAN YANG DIKENAKAN?
Caruman adalah sebanyak RM120 setahun bagi seorang suri rumah secara “in advance” atau “pre-paid” bagi tempoh 12 bulan berturut-turut untuk memastikan mereka memenuhi syarat kelayakan menerima faedah.
- BAGAIMANA PEMBAYARAN CARUMAN BOLEH DILAKUKAN?
Pembayaran caruman SKSSR boleh dibuat melalui saluran berikut:
- Portal suri.perkeso.gov.my (bayaran secara FPX)
- Bayaran di kaunter PERKESO
- Melalui Ejen Korporat yang dilantik oleh PERKESO
- SIAPAKAH PIHAK YANG BOLEH MEMBAYAR CARUMAN SURI RUMAH?
Caruman boleh dibayar oleh:
- Suami suri rumah jika suaminya memilih untuk membayar caruman; atau
- Dibayar oleh suri rumah sendiri jika suami tidak memilih membayar caruman, atau jika suri rumah itu tidak mempunyai suami; atau
- Mana-mana orang lain juga boleh membayar caruman berkenaan. Contoh: bapa, abang atau mana-mana pihak ketiga.
- JIKA WUJUD CARUMAN TERSALAH BAYAR, ADAKAH BOLEH DITUNTUT KEMBALI ATAU DIBATALKAN?
Semua caruman yang telah dibayar tidak boleh dibayar balik atau dibatalkan. Walau bagaimanapun jika caruman tersalah bayar disebabkan Akta tidak terpakai ke atasnya, PERKESO boleh membayar balik caruman tersebut jika bayaran balik itu dituntut dalam tempoh 90 hari dalam Borang SR 2. Contoh: caruman melebihi umur 54 tahun bagi bayaran caruman kali pertama atau suri rumah berstatus penduduk sementara.
- ADAKAH KAKITANGAN WANITA PENJAWAT AWAM, BADAN BERKANUN YANG TIDAK DILIPUTI OLEH AKTA PERKESO SEBELUM INI LAYAK MENCARUM DI BAWAH AKTA SKSSR?
Ya. Kakitangan wanita penjawat awam dan badan berkanun yang memenuhi maksud tafsiran suri rumah layak mencarum dan dilindungi di bawah Akta SKSSR.
- BOLEHKAH SURI RUMAH MENCARUM UNTUK BEBERAPA SKIM PERKESO PADA SATU-SATU MASA?
Boleh kerana liputan Akta-Akta tersebut memberikan perlindungan yang berbeza.
- ADAKAH SURI RUMAH YANG TELAH SEDIA MENGHIDAPI PENYAKIT LAYAK MENCARUM DI BAWAH AKTA SKSSR?
Seorang wanita yang memenuhi takrifan suri rumah adalah layak mencarum di bawah SKSSR walaupun telah sedia ada menghidapi penyakit. Walau bagaimanapun, kelayakan suri rumah untuk menerima Elaun Keuzuran akibat penyakit adalah tertakluk kepada tarikh suri rumah menjadi ilat yang ditentukan oleh Penilai Perubatan dan tarikh suri rumah menjadi ilat itu berada dalam tempoh perlindungan.
- APAKAH PERLINDUNGAN YANG DISEDIAKAN DI BAWAH SKSSR?
SKSSR menyediakan dua jenis perlindungan iaitu –
- Bencana Domestik iaitu kejadian sehingga menyebabkan hilang upaya kekal untuk melakukan apa-apa aktiviti sebagai seorang suri rumah atau sehingga menyebabkan kematian
- Keilatan iaitu penyakit atau keuzuran tertentu sehingga tidak mampu untuk melakukan sebahagian besar atau sepenuhnya aktiviti sebagai suri rumah atau sehingga menyebabkan kematian.
- APAKAH TAKRIFAN BENCANA DOMESTIK DI BAWAH SKSSR?
“Bencana domestik” ertinya kecederaan diri pada Suri Rumah Berinsurans (SRB) yang disebabkan oleh suatu kejadian berakibat daripada dan semasa menguruskan rumah tangganya termasuklah ahli keluarganya dan bukan bagi apa-apa perusahaan, perdagangan, perniagaan atau profesion yang dijalankan olehnya.
- ADAKAH SURI RUMAH BERINSURANS (SRB) LAYAK MEMBUAT TUNTUTAN BENCANA DOMESTIK JIKA KEMALANGAN BERLAKU DI LUAR NEGARA?
Tidak. Perlindungan Bencana Domestik hanya meliputi kemalangan semasa SRB menguruskan rumah tangga yang berlaku di dalam Malaysia sahaja.
- APAKAH TEMPOH MASA SRB DILINDUNGI DARIPADA SEBARANG KEMALANGAN ATAU KEJADIAN SEMASA MENGURUSKAN RUMAH TANGGA SETELAH MEMBUAT BAYARAN CARUMAN?
SRB akan dilindungi di bawah bencana domestik selama 12 bulan sebaik sahaja caruman dibayar. Faedah-faedah di bawah bencana domestik akan diberikan sebagaimana kelayakan.
- APAKAH FAEDAH-FAEDAH YANG DISEDIAKAN BAGI PERLINDUNGAN BENCANA DOMESTIK?
BIL |
JENIS FAEDAH |
KADAR DAN TEMPOH |
(1) |
FAEDAH HILANG UPAYA KEKAL |
Bayaran pukal sehingga RM30,000 mengikut jenis kecederaan |
(2) |
PENCEN PENAKAT |
Bayaran RM300 sebulan sehingga duda berumur 55 tahun, meninggal dunia/berkahwin semula, yang mana lebih awal dan anak sehingga umur 21 tahun. Jika tiada duda/anak, bayaran kepada ibu bapa sehingga umur 55 tahun/meninggal dunia, yang mana lebih awal. |
(3) |
FAEDAH PENGURUSAN MAYAT |
RM3,000 sekali sahaja |
(4) |
ELAUN LAYANAN SENTIASA |
RM250 sebulan sehingga umur SR 55 tahun atau meninggal dunia, yang mana lebih awal |
(5) |
KEMUDAHAN JASMANI |
Pembiayaan sehingga RM50,000 dan rawatan dialysis sehingga RM200 sebulan atau mengikut Akta Fi 1951, mengikut yang terendah |
(6) |
FAEDAH PERUBATAN |
Berdasarkan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 [Akta 4] |
- APAKAH TAKRIFAN KEILATAN DI BAWAH SKSSR?
Seseorang suri rumah dianggap sebagai menghidap keilatan, jika oleh sebab suatu keadaan keuzuran tertentu yang berkekalan, dia tidak berupaya mengambil bahagian dalam apa-apa sebahagian besar aktiviti seorang suri rumah tertakluk kepada syarat kelayakan.
- APAKAH TEMPOH PERLINDUNGAN BAGI KEILATAN?
Berdasarkan bilangan caruman dibayar secara prabayar seperti berikut:
- 20 bulan perlindungan jika 12 bulan caruman prabayar; atau
- 40 bulan perlindungan jika 24 bulan caruman prabayar; atau
- 2/3 bilangan caruman sejak pertama kali mencarum, dengan syarat caruman minimum 24 bulan.
- APAKAH FAEDAH-FAEDAH YANG DISEDIAKAN BAGI PERLINDUNGAN KEILATAN?
BIL |
JENIS FAEDAH |
KADAR DAN TEMPOH |
(1) |
ELAUN KEUZURAN |
RM300 sebulan sehingga umur suri rumah 55 tahun atau meninggal dunia, yang mana lebih awal |
(2) |
PENCEN PENAKAT |
Bayaran RM300 sebulan sehingga duda berumur 55 tahun, meninggal dunia/berkahwin semula, yang mana lebih awal dan anak sehingga umur 21 tahun. Jika tiada duda/anak, bayaran kepada ibu bapa sehingga umur 55 tahun/meninggal dunia, yang mana lebih awal. |
(3) |
FAEDAH PENGURUSAN MAYAT |
RM3,000 sekali sahaja |
(4) |
ELAUN LAYANAN SENTIASA |
RM250 sebulan sehingga umur SR 55 tahun atau meninggal dunia, yang mana lebih awal |
(5) |
KEMUDAHAN JASMANI |
Pembiayaan sehingga RM50,000 dan rawatan dialysis sehingga RM200 sebulan atau mengikut Akta Fi 1951, mengikut yang terendah |
- BAGAIMANA UNTUK MEMBUAT PERMOHONAN TUNTUTAN FAEDAH DI BAWAH SKSSR?
Permohanan tuntutan faedah SKSSR boleh dibuat dengan melengkapkan Borang SR6 – Borang Tuntutan Faedah Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah dan dikemukakan bersama dokumen sokongan yang diperlukan. Borang berkenaan boleh dimuat turun daripada laman web PERKESO atau boleh didapati di kaunter Pejabat PERKESO berhampiran.
- SIAPAKAH ORANG TANGGUNGAN YANG LAYAK DI BAWAH AKTA SKSSR?
- Duda warganegara dan anak, atau
- Ibu bapa warganegara jika tiada duda atau anak.
- SEKIRANYA ORANG TANGGUNGAN DIDAPATI MELAKUKAN KEGANASAN RUMAH TANGGA HINGGA MENYEBABKAN KEMATIAN, ADAKAH ORANG TANGGUNGAN TERSEBUT MASIH LAYAK MENDAPAT FAEDAH DI BAWAH AKTA INI?
Sekiranya PERKESO mempunyai alasan munasabah mempercayai bahawa SRB mati akibat keganasan rumah tangga yang dilakukan oleh orang tanggungan, orang tanggungan itu tidak berhak kepada apa-apa faedah di bawah Akta.
- APAKAH HAD UMUR BAYARAN SYER ANAK JIKA MASIH BELAJAR?
Syer anak bagi Pencen Penakat akan dibayar sehingga anak tersebut mencapai umur 21 tahun atau berkahwin atau meninggal dunia mengikut mana yang lebih awal. Walau bagaimanapun, anak yang sedang menerima pendidikan dalam mana-mana institusi pendidikan tinggi tetapi tidak melebihi ijazah pertama, syer anak tersebut akan dibayar sehingga dia tamat atau berhenti menerima pendidikan tersebut atau sehingga dia berkahwin, mengikut mana-mana lebih awal.
- SEHINGGA UMUR BERAPAKAH SYER ANAK OKU DIBAYAR BAGI PENCEN PENAKAT?
Syer anak OKU bagi Pencen Penakat dibayar selagi dia tidak berupaya atau sehingga umur 55 tahun mengikut mana-mana lebih awal.
- JIKA SURI RUMAH MENCARUM LEBIH DARIPADA SATU SKIM PERKESO PADA SATU-SATU MASA, ADAKAH SURI RUMAH TERSEBUT DAN ORANG TANGGUNGANNYA LAYAK MENERIMA KESEMUA FAEDAH DI BAWAH SKIM YANG BERBEZA?
Suri rumah tersebut dan orang tanggungannya hanya berhak menerima satu faedah sahaja berkenaan dengan hilang upaya kekal atau keilatan yang sama walaupun suri rumah itu mencarum lebih daripada satu skim PERKESO.
- BOLEHKAH SURI RUMAH TERUS MENCARUM SEKIRANYA SUDAH DISAHKAN ILAT DAN MENDAPAT MANFAAT SKIM KEILATAN?
Boleh, kerana suri rumah tersebut akan dilindungi untuk Bencana Domestik untuk apa-apa kejadian semasa menguruskan rumah tangganya.
- SIAPAKAH YANG AKAN MENILAI BAGI HILANG UPAYA KEMALANGAN DOMESTIK DAN KEILATAN SKSSR?
Apa-apa penentuan peratus taksiran hilangupaya kekal atau keputusan keilatan dibuat oleh Penilai Perubatan atau jika ada rayuan, penilaian oleh Jemaah Doktor Rayuan.
- ADAKAH SRB MASIH BOLEH MEMBUAT TUNTUTAN DARIPADA SYARIKAT INSURANS SWASTA SEKIRANYA MEMPUNYAI PERLINDUNGAN PERKESO?
SRB masih boleh meneruskan tuntutan perlindungan insurans swasta walaupun mempunyai perlindungan di bawah SKSSR.